Nama baginda yang sebenar ialah Abu Jaafar Umar Bin Abdul Aziz Bin Marwan Bin Hakam, keturunan Umaiyali daripada bangsa Quraisy. Baginda dilahirkan di bandar Hilwan dalam tahun 61 H, di mana ayahandanya berkhidmat sebagai gabenor di tempat itu. Ibunya pula ialah Laila Binti A'sim Bin Umar Bin Al Khattab. Umar Bin Abdul Aziz adalah seorang yang di anggap bertuah kerana dilahirkan dan keluarga yang masyhur lagi di segani oleh rakyat jelata.
Semenjak kecilnya, baginda telah mula menghafaz AI-Qur'an kemudian beliau dihantar oleh ayahnya Abdul Aziz ke Madinah untuk mempelajari ilmu pengetahuan. Semasa di Madinah baginda telah berguru kepada tokoh-tokoh ulama?, yang muktabar seperti Imam Malik Bin Anas, Urwah Bin Zubair, Abdullah Bin Jaafar Bin Ali Bin Abu Talib, Yusuf Bin Abdullah dan Said Bin Musaiyab. Setelah beberapa lama di Madinah, baginda kemudiannya dihantar pula ke Mesir untuk mendalami lagi ilmu pengetahuannya. Apabila ayahnya meninggal dunia, baginda dipanggil balik ke Damsyik oleh bapa saudaranya Abdul Malik Bin Marwan yang menjadi Khalifah ketika itu dan kemudian dikahwinkan dengan puterinya Fatimah Binti Abdul Malik.
Umar Bin Abdul Aziz adalah disayangi oleh bapa saudaranya Khalifah Abdul Malik kerana baginda mempunyai peribadi yang luar biasa dan memiliki sifat-sifat kepahlawanan yang diwarisi daripada datuknya Khalifah Umar Bin Al Khattab yang terkenal sebagai Khalifah yang adil dan perkasa. Maka berdasarkan faktor-faktor itulah baginda telah dilantik oleh Khalifah Al Walid Bin Abdul Malik memegang jawatan gabenor di Madinah.
Umar Bin Abdul Aziz telah menaiki tahta Kerajaan Bani Umaiyah pada tahun 717 Masihi setelah kematian Khalifah Sulaiman Bin Abdul Malik atas wasiatnya. Setelah baginda memegang teraju pemerintahan negara, baginda dapati bahawa negara Islam di zaman itu tidak lebih dari sebuah negara feudal dan keadaan umat Islam pula telah berada jauh daripada apa yang dituntut oleh agama Islam.
Baginda juga mendapati bahawa anak-anak buah keluarga Bani Umaiyah memiliki istana-istana besar dan tanah yang luas. Mereka telah menggunakan harta kerajaan secara bebas, menindas dan merampas hak rakyat jelata dengan sewenang-wenangnya. Demikianlah keadaan negara dan umat Islam ketika baginda menaiki tahta Kerajaan Umaiyah. Maka sebab itulah baginda dari sejak mula memegang kekuasaan berikrar untuk mengembalikan semula keadilan dan keiz?zahan ajaran-ajaran Islam kepada kehidupan umat Islam ketika itu walaupun baginda terpaksa menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi. Baginda ingin menjadikan pemerintahan negara sebagai sebuah daulah yang benar-benar berdasarkan kehendak dan ajaran Islam yang suci.
Khalifah Umar sedar akan hakikat sebenarnya yang telah berlaku dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang menyebabkan rakyat merasa tidak puas hati terhadap kerajaan. Ini adalah disebabkan adanya kezaliman dan dasar tindas-menindas dari pihak kerajaan dan pegawai?-pegawainya terhadap rakyat jelata. Baginda telah bekerja keras untuk membawa pelbagai perubahan dan kebajikan terhadap rakyat jelata dalam kerangka mewujudkan sebuah pemerintahan Islam yang sejati.
Usaha kebajikan yang dilakukan oleh Khalifah Umar Bin Abdul Aziz ialah menghapuskan cacian terhadap Saiyidina Ali Bin Abu Talib serta keturunannya sebagaimana yang lazim dilakukan oleh Khalifah-khalifah Umaiyah ketika Khutbah Jumaat. Cacian ini diwajibkan kepada imam-imam atau khatib-khatib di setiap masjid agar membacanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat. Amalan mencerca Saiyidina Ali r.a. ini terus menerus diamalkan oleh Khalifah-khalifah Umaiyah sehinggalah kepada zaman Khalifah Umar Bin Abdul Aziz. Baginda telah memerintahkan dengan keras agar perbuatan yang terkutuk itu dihapuskan sama sekali dan hendaklah digantikan tempat itu di dalam khutbah Jumaat dengan ayat-ayat suci Al Quran.
Satu lagi pembaharuan yang dilakukan oleh Khalifah Umar Bin Abdul Aziz ialah menghapuskan bayaran jizyah yang dikenakan kepada orang-orang bukan beragama Islam yang tinggal di negara Islam dan jajahan takluknya. Tujuan baginda berbuat demikian ialah untuk menggalakkan mereka supaya bertambah ramai menganut agama Islam. Dan ini merupakan satu cara untuk meluaskan penyebaran agama Islam.
Khalifah Umar Bin Abdul Aziz adalah seorang Khalifah yang sangat warak dan taqwa serta menyukai hidup zuhud dan menjauhi kesenangan. Corak kehidupannya amatlah sederhana sekali dan bagindalah satu-satunya Khalifah Umaiyah yang bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa mengira perbezaan darjat atau keturunannya.
Langkah yang diaplikasikan untuk menjadikan kehidupan rakyat bertambah senang baginda telah menaikkan gaji kaum buruh sehingga kenaikan tersebut hampir menyamai setengah-setengah gaji para pegawai kerajaan. Demikianlah besarnya perhatian dan kecintaan baginda terhadap golongan umat Islam yang miskin lagi rendah taraf kehidupannya.
Bagaimanapun satu-satunya lagi jasa Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang terbesar sekali ialah usahanya dalam memajukan pengajaran dan kepentingan agama Islam di lingkungan umat dan kerajaannya yang luas itu. Baginda telah memerintahkan Muhammad Bin Abu Bakar Al Hazni di Mekah agar mengumpulkan serta menyusun hadith-hadith Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu baginda juga telah menghantar pendakwah-pendakwah Islam kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara serta mengajak mereka itu memeluk agama Islam.
Sebagai seorang yang alim dan ahli dalam bidang perundangan Islam, beliau sangat mengambil berat tentang kemajuan ilmu pengetahuan di zamannya. Semua orang -orang Islam diperintahkan supaya berjemaah dan menggunakan bangunan-bangunan masjid untuk mempelajari hukum Islam. Dalam rangka beliau untuk menyebarkan ilmu pengetahuan, beliau telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara untuk mengajar hal-ehwal agama. Islam di sana. Beliau juga mengambil berat tentang penyebaran ilmu sains dan kedoktoran. Dalam bidang ini beliau memerintahkan golongan cerdik pandai Islam supaya menterjemahkan pelbagai cabang ilmu pengetahuan yang terkandung dalam kitab-kitab bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab. Penterjemahan ini adalah bertujuan supaya kitab-kitab tersebut dapat dipelajari oleh Umat Islam dan menjadi bahan kajian golongan cerdik pandai Islam ketika itu.
Keadilan adalah satu-satunya dasar pemerintahan yang sangat diperhatikan oleh Khalifah Umar Bin Abdul Aziz . Dapat dikatakan bahawa di zamannyalah umat Islam sekali lagi dapat menyaksikan ciri-ciri keadilan pemerintah Islam yang terpancar dari ajaran-ajaran Islam yang murni. Semasa pemerintahannya sekalian rakyat dilayan dan diadili dengan saksama tanpa terpengaruh oleh lingkungan pangkat, darjat atau keluarga. Baginda telah melarang keras hukuman bunuh dan potong tangan terhadap seseorang sekiranya pihak pendakwa tidak dapat membuktikan keterangan-keterangan yang jelas dan semua hukuman-hukuman tersebut Selain daripada itu harta rampasan perang tidak boleh dibawa kembali atau dibahagi-bahagikan menurut sesuka hati. Majlis Jemaah Negara pula tidak lagi dibenarkan dengan menggunakan harta kerajaan. Demikianlah gambaran corak pemerintahan yang dijalankan oleh Khalifah agung dari Bani Umaiyah ini yang wajar mendapat sanjungan umat serta ditauladani oleh pemerintah-pemerintah Islam dewasa ini.
Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, Khalifah sangat amanah, adil lagi menyukai hidup zuhud telah meninggal dunia dalam tahun 101 Hijrah tatkala berusia 39 tahun. Walaupun zaman pemerintahannya itu sangat pendek sekali iaitu hanya 2 tahun 5 bulan sahaja namun baginda telah meninggalkan jasa-jasa yang sungguh besar dan mengkagumkan umat di sepanjang zaman. Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas rohnya yang suci dan meredhai segala amalnya yang baik.
diskursus keislaman, artikel Islam, bahan makalah Islam, pendidikan Islam,sosiologi Islam, Hukum Islam, Politik Islam,Sejarah Islam, penelitian Islam, islamic studies, wacana Islam, etc
Thursday, May 1, 2008
KHALIFAH UMAR B. ABDUL AZIZ.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment